nurulmuna yem nurul muna yem nurulmunayem
nurulmuna yem nurul muna yem nurulmunayem

26 July 2016

Quiet Room

Kadang langkah kita makin perlahan kerana terlalu banyak perkara duniawi yang menyesakkan. Maka kita, selaku hamba yang lemah akan cuba mencari 'diversion' sepertimana yang kita rasa perlu untuk memuaskan hati.

Betul ke bila kita berubah menjadi yang lebih baik tu, kita akan selamanya baik? Syaitan ada beribu cara untuk ubah hati kita, kalau dia gagal membisikkan hasutan pada anak Adam, dia akan cuba dengan cara lain, iaitu melalui kebaikan. Kita sendiri kena selalu berdoa, moga Allah sentiasa tunjukkan kita dengan cara hidup Islam yang kita semua nak. Berdoa supaya Allah jauhkan kita dari sifat-sifat mahmudah.

Selain tu, usaha juga untuk tambah amal dalam diri, moga-moga melebihi bilangan dosa yang kita pernah lakukan. Manusia memang serba lemah, kadang-kadang fasa terlemah dalam hidup itulah yang paling fasa yang paling ampuh untuk kita cari semula nilai kita di mata Allah. Kadang-kadang, kita memang perlukan rasa remuk yang paling pahit untuk kita turunkan ego untuk sujud pada Allah, merayu pada dia. Biar kita ditinggalkan seorang diri dalam dunia ni, biarpun jauh 5500 batu dari semua orang yang kita kasihi, untuk kita cari semula siapa kita yang sebenarnya, apa tujuan hidup kita, apa sebenarnya matlamat hidup ini: menjadi hamba manusia atau menjadi hamba Allah?

Memang ada seorang insan yang menyedihkan dalam dunia ini, di mana hatinya terlalu sibuk dengan pandangan manusia hingga dia lupa betapa indahnya lagi pandangan Allah itu. Hinggakan satu hari, Allah sisihkan dia dari manusia lain, dan dia merasakan dialah insan paling sunyi dalam dunia ini. Tapi, dengan kesunyian itu Allah datangkan beribu lagi hikmah, dia dikelilingi manusia yang baik, dan yang paling penting dia meletakkan pandangan Allah lebih tinggi dari apa pun. Dia menjadi lebih kuat dan dia tak lagi takut dalam kesunyian itu. Dia belajar dari kepahitan yang pernah terlalu menyesakkan hingga dia lupa akan perkara yang lebih besar: tanggungjawab sebagai hambaNya.

Moga kita tidak lupa betapa setiap kisah, setiap episod dalam hidup kita ini bukanlah kebetulan atau diatur secara rawak, tetapi ada hikmah yang Allah selitkan kerana Dia Yang Maha Mengatur. Moga kita tidak buta akan setiap ujian yang Dia berikan dan lebih penting, moga kita tidak merungut akan setiap keadaan yang menghimpit. Kita takkan berhenti diuji sehingga kita belajar dari ujian tersebut. Dan bila kita telah berjaya, kita akan diuji lagi.

Apa-apa yang menjauhkan kita dari Allah, itulah halangan kita, dan ianya satu bentuk ujian juga.
Walaupun pada dasarnya, ujian itu dilihat sebagai perkara-perkara yang baik dalam hidup kita.
Tapi bila mana ianya telah menjauhkan kita dari Allah, ianya bukan lagi nikmat.

Masa senang itu ujian.
Harta itu ujian.
Pelajaran itu ujian.
Keluarga itu ujian.
Rakan-rakan itu ujian.
Pangkat itu ujian.

Lensa kita harus ditukar.
Lihatlah dunia sebagai seorang yang hanya berada di satu persinggahan di mana kita menyemai butir yang akan bercambah dan berputik di akhirat kelak.

Dekatkan kami padaMu, ya Allah.
Amin, ya rabbal 'alamin.