nurulmuna yem nurul muna yem nurulmunayem
nurulmuna yem nurul muna yem nurulmunayem

31 July 2012

Mukasuratmu.

Kalau buku kesayangan dipinjam orang.
Sukar untuk kita rujuk. 
Rasa tak mampu berbuat apa.
Halaman kesayangan yang ditanda.
Hilang begitu saja.
Kalau buku itu milik kita.
Seharusnya.
Dipulangkan kembali.
Kan?

28 July 2012

Contengan di pagi hari olimpik.

Kisah demi kisah demi kisah.
Sakit demi sakit demi sakit.
Perit demi perit demi perit.
Luka demi luka demi luka.
Kalau aku tuliskan, pasti tebal bukunya.
Kalau aku ceramahkan, pasti bertahun-tahun durasinya.
Kalau aku lukiskan, pasti sebesar alam lukisannya.
Tapi, masih.
Yang merasa itu aku.
Yang sakit. Yang perit. Yang luka.
Aku.
"Berkongsi rasa", katanya.
"Kalau susah, ceritalah pada aku", katanya.
Heh. Untuk apa? Supaya beban aku terkurang? Supaya sakit aku disembuh?
T I D A K P U N .
Tetap aku seorang yang merasa. 
Sendiri.
Kalau aku canangkan di sana sini, hanya bertambah lemah akibat menunjukkan kelemahan.
Aku tak boleh selalu senyum untuk orang lain, sayang.
Tapi biarkan aku senyum untuk diri aku sendiri.
Kalau aku sebarkan kisah perit aku, hanya akan membuatkan hati-hati lain rawan risau gelisah.
Kalau aku sebarkan senyum aku untuk aku pasti ada yang mahu tersenyum sekali.
Heh.
Nampak tak permainannya di situ?
Sekian terima kasih
:)))))))))))))

27 July 2012

Rasa rasa jiwa hati rasa.

Kalau hati ni sedang merasa, biarkan ianya merasa.
Biarkan, biarkan rasa itu meresap, mengawal diri.
Tapi rasa itu mendatangi hati,
Dan hati itu yang mengawal rasa.
Biarkan, tatkala rasa itu dirasai, biar hati menzahirkan apa yang patut.
Jangan.
Jangan terlalu biar diri dikawal rasa.
Zahirkan APA YANG PATUT.
Kalau rasa itu memberontak, hati akan kawal.
Berkawan dengan hati.
Rasa itu mendatangi hati.
Biarkan hati merasa tapi  hati menzahir apa yang patut.
Tolonglah, tolong, tolong diri kau untuk perjuangan kau.
Jangan. Jatuh. Pada. Rasa.

perlukah aku menyebut setiapnya
yang indahku tidak akan ada makna
bila kau sembunyi dan bermain lari-lari
separuh aku sudah pun mati

tak mampukah kau percaya
haruskah ku hebahkannya pada dengki dunia?
tidak bisakah kita sekadar pejam mata
biar jiwa bersuara

biar
biar
biar jiwa
bersuara

-Fynn Jamal 

24 July 2012

Luas.

Hati, aku harapkan kau. Terbukalah.
Terbuka luaslah supaya engkau dapat menerima yang nyata.
Yang benar-benar terjadi. Jangan lagi kau biar diri kau didakap mimpi.


Biar berhenti.


Ini.
Satu.
Komplikasi.

Menanam kekuatan.

Dalam kembara kita. Ada undang-undang dunia. Ada panduan hidup. Ada motif.
Lillahita'ala.
Ingatlah kalau kita susah, pasti ada yang lebih susah.
Ingatlah kalau kita senang, pasti ada yang lebih senang.
Ingatlah kalau kita sakit, pasti ada yang lebih sakit.
Ingatlah kalau kita hebat, pasti ada yang lebih hebat.
Tapi sekurang-kurangnya, kita hidup.
Tapi sekurang-kurangnya, kita masih punya peluang.
Tapi sekurang-kurangnya, kita masih punya harapan. 
Untuk meluruskan tujuan.
Demi Dia.


Demi pengakhiran yang baik.
Husnul Khatimah

:') 

Amin!

Yang Kekal Takkan Pergi :)



Ya TuhanKu :')
Sesungguhnya Engkaulah Rabb yang kami kasihi :')
Engkau pinjamkan kepada kami, kasihmu yang luas tiada tandingan.
Engkau pancarkan kekuatanMu, pada kami yang lemah tiada bertepian.
Masih tidak terluak kekuatanMu, malah melimpahi masih jua.
Allah.
Allah.
Allah.
Kami mencintaiMu, atas segala rahmatMu, atas segala nikmatMu.
Yang Kau pinjamkan ke atas kami.
Tiada kata sempurna mampu mengungkap, 
Sesungguhnya kepadamu, tangan kami mengangkat.
Memohon, agar keredhaanMu menjadi milik kami.
Seperti pokok disinari Matahari, berbunga menguntumkan senyum.
Seperti sungai, disejukkan bumi, menjadikan senangnya sang hati.
:')
Seperti bulan, memancarkan cahaya Matahari.
Engkau ibarat Matahari, dan kami ibarat bulan.
Memancarkan sinarMu yang tak pernah mewujudkan sebarang sisi gelap.
Indah.

Terima kasih, ya Allah, Allahurabbi.
Sesungguhnya engkaulah Kasih, Sayang, Cinta.
Yang Kekal, Yang Takkan Pernah Pergi.

Redhakanlah Ramadhan kami, ya Allah.
Hilangkanlah ujub, takabbur, dan riak di daladiri kami.
Amin, ya Rabbal al-Amin
  


19 July 2012

What you really want is... :)

Kadang-kadang kita terpaksa, dipaksa, memaksa.
Sakrifais. Sakrifais kita untuk orang tersayang.
Biar, biar kita dalam keterpaksaan, dihenyak perasaan.
Biar semua hilang, biar semua pergi, semua luntur luluh hancur lebur, biar.
Atas dasar sayang. Atas dasar menjaga. Atas dasar suka.
Kita mungkin berjanji antara satu sama lain, 
Bahawa kita harus tetap tersenyum dalam setiap keadaan.

Tapi aku cuma manusia, punya perasaan, hati. 
Aku terpaksa mungkir. Aku tak boleh senyum selalu! Aku tahuuu, kau tak mahu lihat aku senyum bahagia, 

Jadi biar aku kemamkan senyum ini dan gumpalkan dalam tekak, telan, senyum dalam hati biar pahit.
Biarlah! Biar, supaya kau senyum gelak ketawa guling-guling sekuat hati perasaan semua,
dan aku di satu sudut masih gembira lihat kau senyum.
Walaupun aku tak dibenarkan tersenyum bersama.
Kalau itulah hendaknya, itulah dia yang kau dapat.
Okay?
Done.

Let's just say, if I smile I will bleed. Even if I smile for you. Especially for you.

12 July 2012

Tak sendiri.

Seseorang, yang dilihat berjalan seorang diri tak ditemani sesiapa di kanan kiri.
Adakah ianya satu norma yang tidak boleh diterima oleh masyarakat?
Berjalan seorang diri?
Apa tak boleh aku jadi independen?
Apa memang perlu setiap langkah perlu ditemani?
Ah, aku peduli apa. Memang ada yang menemani.
Di bahu kiri dan kanan.
Aku ada peneman.
Pastinya aku mahu berbaik dengan mereka.
Tak salah kan?

Kuat tak terhalang :')

Hati. Bila kuat, tak akan rapuh. Bila ada pegangan, tak akan sesat. Bila mahukan sesuatu, pasti ianya membawa kebahagiaan. Tapi apa yang menguatkan kita itu tak akan sentiasa ada. Apa yang kita rasa mampu memegang tiang-tiang hati ini, tak semestinya teguh. Apa yang kita mahukan itu, tak semestinya mahukan kita. Jadi hati, kau perlu belajar erti sendiri perjuangkan kekuatan hati kau. Tak perlu berikan sehabisnya pada yang belum menjadi hak. Tak perlu melemahkan semangat yang Tuhan kurniakan, sedangkan kita boleh kuatkan ia. Kuatkan, asaskan, sebarkan. Boleh boleh, kita boleh. Kita boleh sebab Allah akan senangkan jalan benda yang berniat baik. Kita dihalang sebab syaitan tak suka benda yang ke arah kebaikan. Tapi dihalang di satu-satu jalan, tak bermakna harus mengalah. Pergi ke arah lain. Kita punyai cuma satu kiblat tapi jalan menuju kiblat itu ada banyak, malah luas! Ada banyak jalan yang boleh kita pilih, yang membawa kita berada di bawah payungan Allah. Sabar saja. Jalan ke jalan yang lurus tidak lurus, barangkali. Tetapi luruskanlah semua yang kita punyai. Kekuatan kita, semangat kita, niat kita, agar kita mampu membawa kaki melangkah ke arah itu. Kalau kita benar-benar ikhlas, mampu juga kita bergerak bersama mereka-mereka yang telah kita sentuh hati mereka. 

Amin, Ya Rabbal al-Amin!

Wehhhh!

Rimas, dalam erti kata dipeluk-peluk ketat oleh kenangan jauh, aku benci rasa tu sebab aku rasa macam nak tikam-tikam setiap rasa yang datang lepastu pergi lepastu merangkak balik ke arah aku lepastu, lepastu buat aku rasa macam aku ni melebih-lebih, lepastu, aku sedih lepastu tiba-tiba aku lupa balik tentang semua ni dan aku boleh tidur seperti biasa macam tak ada apa-apa jadi.

Macam haram

11 July 2012

Definisi hidup -- Live life to the max?

Life. Macam mana kau definasikan hidup semaksima mungkin tu? Dengan keluar ke sana ke mari, beramai-ramai, bersama rakan bergelak ketawa, atau duduk di rumah, membaca buku demi buku yang membuka minda memancing idea dari sisi sudut lain, atau atau, atau pergi ke satu tempat keseorangan dan menjerit sekuat hati mengeluarkan setiap perkataan yang tak terucap, tergulung di balik lidah? Atau macam mana sebenarnya?

Kenapa boleh ada wujudnya kata-kata tergelincir dari bibirmu,
"Kau ni takde life lah."

?


09 July 2012

Deraan aksara.

Kumpulan Cerpen Matahari: Aku Anak Palestina.

Nukilan: Hilal Asyraf


Assalamu’alaikum,

Namaku Fathi, dan aku adalah anak palestina. Aku berumur 20 tahun. Sepanjang itu jugalah aku membesar di tanah berdarah ini, dan menjadi saksi kepada segala apa yang berlaku. Peperangan, pembunuhan, kematian, pengeboman, dan pelbagai lagi perkara seakan sudah menjadi panorama biasa untukku.  Kamu tahu, hatta dentuman bom dan muntahan peluru seakan-akan menjadi dodoian tidur bagiku.

Tetapi jangan kata aku bahagia, hakikatnya hatiku sering tercalar dengannya.

Aku membesar tanpa keluarga. Ayah dan ibuku telah terkorban apabila Israel merampas rumah kami. Masih jelas pada tubir mataku, bagaimana ayahku ditembak dengan kejam, dan ibuku dirogol tanpa belas kasihan. Bahkan, mereka dengan buas telah mengoyakkan perut ibuku yang ketika itu sedang mengandung, mengeluarkan adikku yang ada di dalam rahim itu, lalu menembak adikku yang tak berdosa itu berkali-kali. Mujur sahaja pejuang HAMAS tiba ketika itu, jika tidak, pasti aku tidak akan ada di sini, bercerita kepada kamu.

Aku masih ingat lagi yang ketika itu aku berumur 6 tahun. Pejuang Hamas yang menyelamatkan aku bernama Yahya. Sesuai dengan namanya yang bermaksud kehidupan, Allah telah mengizinkannya memberikan kehidupan baru kepadaku. Dia telah menjagaku, dan membesarkanku serta memberikan pendidikan kepadaku. Aku memanggilnya ‘bapa’.

Bagi aku yang melihat sendiri bagaimana Israel menamatkan riwayat seluruh ahli keluargaku, kasih sayang bapa membuatkan aku amat mengasihinya. Dia seakan-akan memberikanku cahaya. Ibarat matahari yang memberikan sinar buat dunia.

Namun bahagia tidak panjang. Kehangatan kasih sayang bapa terhenti apabila Israel melanggar perjanjian gencatan senjata. Bapa telah mati dalam satu pertempuran apabila Israel cuba menceroboh. Umurku ketika itu adalah 20 tahun. Memandangkan pada waktu itu madrasah tempat aku menuntut ilmu telah dirobohkan oleh Israel, maka aku mengangkat senjata dan berjuang bersama-sama pasukan Izzuddin Al-Qassam, yang merupakan sayap kanan HAMAS.

Perjuangan semakin sukar, kerana  Israel telah berjaya membuatkan seluruh negara Islam yang lain berdiam diri dengan keadaan kami. Belasan tahun berlalu, peperangan terus berlaku, dan darah terus tertumpah. Nyawa saban hari melayang. Suasana sudah ada perubahan. Dari teruk menjadi semakin teruk.

Hari ini, buat kali yang entah ke berapa, Israel laknatullah telah melanggar perjanjian gencatan senjata. Malah, mereka telah berjanji untuk menyapu bersih segala penentang dalam serangan kali ini. Gaza, daerah bebas terakhir di Palestina, kini telah menjadi tumpuan serangan.

Israel tidak lagi menghiraukan pandangan dunia. Mereka sebenarnya langsung tidak takut dengan sebarang ancaman atau teguran yang dikeluarkan oleh negara-negara lain. Hal ini kerana, mereka tahu bahawa negara-negara lain tidak akan mampu berbuat apa-apa melainkan bersuara  sahaja. Amerika telah menjadi boneka Israel lantas bertindak sebagai perisai buat negara zalim itu. Malah Amerika sendiri telah menghantar bantuan ketenteraan untuk Israel.

Kali ini, Israel menyerang dengan serangan yang amat dasyat. 200 buah jet pejuang telah dihantar ke ruang udara Gaza, dan melepaskan bom serta torpedo secara rambang ke arah bandar. Angka kematian pada  hari pertama sahaja mencecah 3000 orang. Paling menyedihkan, yang terkorban dalam serangan buas ini bukan sahaja para pejuang, malah anak-anak kecil, perempuan dan orang-orang tua yang tak berdaya turut menjadi mangsa. Bangunan-bangunan banyak yang hancur dan roboh.

Gaza telah menjadi  sungai darah. Suasana yang memang sedih kerana penjajahan sebelum ini, kini menjadi  lebih menyayat hati. Mayat bergelimpangan di sana-sini. Mayat-mayat hancur juga  banyak yang bersepah di atas jalan. Ada juga yang tertepek pada dinding-dinding bangunan. Kemusnahan peperangan kali ini memang di luar akal. Sepanjang aku mengharungi pertempuran di bumi Gaza, inilah peperangan yang terdasyat sekali.

Dalam kemusnahan dasyat disebabkan tangan Israel laknatullah ini, kami mendapat berita bahawa ada kerajaan dunia menegur tindakan zalim Israel. Namun, teguran itu membuatkan telingaku tambah berasap. Kamu tahu apa tegurannya?

“ Harap Israel boleh cuba mengelakkan serangan mereka dari rakyat biasa”

Pada aku yang berada di tengah-tengah Gaza ini, itu adalah teguran terbodoh. Mana mungkin hendak mengelak dari rakyat biasa? Adakah mereka mempunyai peluru berpandu yang boleh mengesan sama ada manusia itu askar atau tidak? Tahukah mereka bahawa Gaza ini penuh dengan rakyat yang tak berdosa? Malah torpedo dan bom yang dilepaskan oleh Israel mempunyai lilitan letupan yang besar. Mustahil tidak mencederakan rakyat biasa. Lihatlah apa yang terjadi di sini, kalau Israel boleh mengelak rakyat biasa, pasti tidak akan ada mayat-mayat anak kecil, perempuan lemah dan orang tua!

Hari ini, jet pejuang Israel telah mengosongkan ruang udara Palestin. Adakah mereka hendak berhenti? Tidak. Mengikut maklumat yang telah kami terima, mereka sudah bersedia di luar Gaza dengan 100 buah kereta kebal. Mereka hendak melunaskan kerja-kerja yang tidak mampu dilakukan oleh jet pejuang.

Aku di balik dinding ini, bersama-sama beberapa orang sahabatku, sedang menanti kehadiran mereka dengan hanya berbekalkan AK-47, senjata yang boleh dikatakan kuno jika hendak dibandingkan dengan senjata Israel. HAMAS telah menetapkan untuk bertempur hingga ke hujung nyawa. Maka beberapa kumpulan telah diarahkan untuk mensabotaj kereta kebal-kereta kebal yang memasuki Gaza. Kami juga diarahkan untuk merampas kereta kebal.

Ketika aku sedang menulis warkah ini, sebahagian anak-anak kecil sudah mula mengutip batu-batu. Aku terasa seperti hendak menangis. Aku jadi kagum. Mereka walaupun belum lagi berumur baligh, sudah matang untuk mengorbankan diri di jalan Allah SWT.

Aku berharap, Allah memberikan kekuatan kepada mereka sebagaimana kekuatan Rasul-Nya Dawud AS.

 “Berapa banyak sudah pasukan yang kecil menewaskan pasukan yang besar dengan izin ALLAH,”

Aku merasakan bahawa apa yang berlaku pada saat ini adalah teguran Allah kepada ummat Islam seluruhnya. Yang aku tahu, ummat Islam pada hari ini sering bertelagah. Malah ramai dari kalangan mereka yang tidak ambil kisah akan keadaan saudara mereka yang lain.

Mereka hidup dalam suasana ananiah yang menebal. Hati mereka telah menjadi keras seperti batu untuk merasakan penderitaan saudara-saudara mereka.

Aku juga mendengar bahawa,negara-negara Islam di luar sana sudah tidak mengamalkan Islam di negara masing-masing. Pemimpin-pemimpin mereka leka dengan kesenangan yang ada. Semuanya tunduk dan sujud menyembah Amerika dan segala kuncu-kuncunya.

Aku tahu, ini bukan salah mereka. Mereka sebenarnya telah disuntik dengan jarum beracun semenjak akhir era Khilafah Uthmaniyyah lagi. Ummat Islam melemah, melemah, dan terus melemah sehinggalah jika ada saudara  mereka yang dibunuh, dicincang, diinjak, terkorban, hati mereka langsung tidak merasa.

Apa yang berlaku kepada kami di sini, aku tidak melihatnya lebih dari teguran Allah kepada ummat Islam itu sendiri. Dengan keadaan Palestina seperti hari ini, Allah hendak menunjukkan betapa lemahnya ummat yang pada satu masa dahulu pernah menguasai 2/3 dunia. Allah hendak menunjukkan, betapa ummat ini telah meninggalkan ajaranNya dan melupakan deenNya. Dan sesiapa yag meninggalkan deenNya akan berada dalam keadaan hina.

Aku pernah mendengar peristiwa tsunami yang melanggar tenggara asia pada lima tahun lepas. Sehingga ada yang menyatakan bahawa itu kiamat kecil. Ketika itu, ramai yang menyatakan bahawa Allah telah marah, lalu menegur manusia dengan bala bencana.  Aku hanya mampu tersengih.

Kamu tahu, di Gaza ini, kiamat kecil berlaku hari-hari. Tempat ini saban hari bergegar dengan dentuman bom dan bingit dengan muntahan peluru. Tetapi tiada manusia pun yang menyatakan bahawa apa yang terjadi pada kami  ini adalah teguran Allah kepada mereka. Mungkin manusia tidak tahu yang ALLAH ada berfirman,

“Telah nampak kerosakan di darat dan di lautan disebabkan perbuatan tangan-tangan manusia. ALLAH mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari akibat perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”

Oleh kerana ketidak pedulian orang-orang Islam di luar sana, kami pasukan HAMAS telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan bumi suci ini. Kami menentang segala keganasan yang berlaku di sini dengan tulang empat kerat kami, dengan segala kudrat kami. Kami korbankan bukan sahaja masa dan harta, bahkan nyawa juga kami korbankan. Tetapi yang aku amat sedih adalah apabila, tindakan kami untuk mempertahankan tanah kami dikatakan sebagai satu tindakan keganasan.

Aku hairan dan pelik dengan orang-orang Islam di luar sana. Kamu tidak punya akalkah? Kenapa kami digelar sebagai pengganas? Sedangkan rumah-rumah kami dirobohkan, sedangkan isteri-isteri kami dirogol dan dibunuh tanpa belas kasihan, sedangkan anak-anak kami ditembak, sedangkan ayah dan ibu kami terkorban, semuanya dek kerana penjajahan Israel atas tanah kami. Adakah membela diri digelar satu keganasan?

Aku hairan, setahu aku, semua negara ISLAM dahulu menentang penjajahan di bumi mereka. Mereka menyah penjajah dan membenci penjajah. Tetapi apabila tanah kami dijajah, kami pula yang diselar sebagai pengganas. Mereka menyatakan kami tidak reti bertolak ansur. Aku hairan. Kenapa kamu bersikap demikian? Tahukah kamu bahawa Rasulullah SAW ada bersabda,

“Barangsiapa yang berpagi-pagi tanpa mengambil kisah urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka”

Kemudian kamu menyatakan bahawa jihad itu adalah jalan keganasan. Kamu pesongkan jihad kepada jihad-jihad yang kamu reka sendiri. Jihad masyarakat, jihad menentang pencemaran, jihad menentang kemiskinan dan pelbagai lagi jihad yang kamu reka, yang tidak utama, berbanding jihad kami yang sedang mempertahankan deen Islam ini. Sedangkan Allah telah mengizinkan kami untuk memerangi mereka yang menzalimi kami,

“Telah diizinkan untuk kamu memerangi mereka yang menzalimi kamu…”

Kamu tahu, hal Palestin, bukanlah hal kecil. Ini juga bukanlah hal pembebasan sebuah tanah.

Hal Palestin adalah hal deen Islam itu sendiri. Yahudi bukan hendak merampas tanah semata-mata, bahkan mereka hendak melenyapkan Islam  itu dari muka bumi kita. Mempertahankan Palestin hari ini, adalah mempertahankan Islam itu sendiri hakikatnya. Kami sanggup berkorban, kerana kami sedang mempertahankan Islam. Kami bukan nasionalis, kami adalah hamba Allah SWT. Hanya Allah SWt mampu membeli jiwa-jiwa kami. Bukannya dunia atau perkara lain.  Sungguh kami melihat betapa Allah hanya redha pada Islam, bukan pada negara-negara yang kita duduki. Allah telah berfirman,

“Hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu deen kamu(ISLAM), dan aku sempurnakan untu kamu nikmatKu(ISLAM), dan aku redha ISLAM itu menjadi deen kamu”

Kamu tahu yang Masjidil Aqsa itu adalah tempat suci ummat Islam. Ia sama sahaja seperti Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Tetapi kenapa dua masjid itu kamu tatang seperti minyak yang penuh, sedangkan masjid suci di Palestin ini kamu biarkan? Bukankah masjid ini tempat Rasulullah dimikrajkan ke langit? Adakah kamu tidak berasa apa-apa apabila tembok tempat  Rasulullah SAW menambat buraq dijadikan tembok ratapan oleh kaum yahudi? Adakah kalian lupa firman Allah?

“Maha Suci kepada yang mengisra’kan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Majidil Aqsa yang diberkati sekelilingnya dan ditumpahkan cahaya kepadanya dari ayat-ayat KAMI”

Hati kalian telah dibius. Kalian hanya mampu bersuara tetapi tidak mampu bergerak. Tidak cukup dengan itu, kalian menggelar kami yang berjuang ini sebagai pengganas. Kamu tahukah apa makna semua ini? Ini menunjukkan Islam itu telah pudar dari penghayatan kalian. Kalian yang tidak bergerak membantu kami itu, adalah tanda lemahnya hubungan kalian dengan Allah SWT. Kalian lebih takut segala halangan yang direka  oleh musuh-musuh Allah dari Allah itu sendiri. Adakah kalian lupa sabda Rasulullah SAW?

“Muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain, jangan kamu menzaliminya, mengkhianatinya atau menyerahkannya kepada mereka yang hendak menzaliminya”

Bukankah ALLAH juga ada berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati ALLAH dan RasulNya, dan janganlah sesekali kalian mengkhianati amanah kalian sedankan kalian mengetahuinya”

Tapi pakah pengkhianatan yang berlaku hari ini? Apakah yang kalian akan katakan kepada Allah pada hari kelak akan pengkhianatan yang kalian lakukan kepada kami hari ini?

Adakah kalian sangka, Israel itu akan berhenti selepas menawan Palestin ini? Ketahuilah yang mereka itu akan bergerak menawan seluruh negara Islam yang lain selepas menyelesaikan kerja mereka menawa Palestin. Mungkin aku telah tiada ketika itu. Tetapi aku tahu apa yang akan berlaku. Kamu tahu apa yang akan berlaku? Apa yang akan berlaku pada kamu ketika itu adalah apa yang telah berlaku kepada kami ketika ini. Ketika itu kamu akan merasa sebagai mana yang telah kami rasai hari ini. Allah telah berpesan,

“Tidak akan sesekali redha yahudi dan tidak pula nasara sehingga kamu mengikuti jalan mereka”

Tidak cukupkah penderitaan kami? Sehingga bila kamu semua hendak tidur memekakkan diri? Hari kamu akan tiba nanti andai kamu tidak bergerak lagi. Ketika itu baru kamu merasai apakah seronok digelar pengganas di bumi sendiri.

Kamu tahu, kalaulah Masjidil Aqsa itu boleh bersuara, aku yakin yang dia akan menjerit memarahi kalian yang sedang duduk bergoyang kaki, membiarkan aku dan seluruh penduduk Palestina ini menderita. Kamu tahu,kalaulah dinding-dinding rumah yang ada di Palestin ini boleh bersuara, pasti mereka akan melaknat kalian yang tidak mengendahkan akan keadaan kami di sini. Kamu tahu, kalaulah batu-batu yang anak-anak kecil kami baling itu boleh bersuara, batu-batu itu pasti akan berteriak menghina kebaculan kalian hari ini.

Tidakkah kamu tahu bahawa,nanti bayi-bayi kami, anak-anak kami, isteri-isteri kami, ayah dan ibu kami, pejuang-pejuang kami yang telah gugur semuanya itu akan bangkit di hari akhirat? Hari yang Allah telah janjikan untuk kita berkumpul di Padang Mahsyar bersama-sama. Mereka akan mempersoalkan kalian di hadapan Allah atas apa yang telah kalian lakukan kepada kami hari ini. Aku tahu apakah yang akan mereka katakan nanti.

“ Ya Allah, mereka saudara kami, tetapi mereka telah membiarkan kami.”

Apakah kamu menyangka Allah akan melepaskan kalian?

Hari itu kami akan bangkit dengan darah-darah kami sebagai bukti perjuangan dan penderitaan kami. Darah kami akan berbau harum seperti kasturi. Kerna kami syahid dalam mempertahankan deen Allah yang Allah redhai.

Kalian tahu, mereka yang mati syahid tidak akan dihisab oleh pertimbangan Allah. Kami akan diberikan keistimewaan untuk terus masuk ke syurga. Tetapi apakah nasib kalian ketika hari itu? Kalian akan merangkak di Siratul Mustaqim kerana pemeriksaan yang sangat berat oleh Allah. Dosa kalian meninggalkan kami amat berat sebenarnya.

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, tetap akan dihitung, dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, tetap akan dihitung”

Pasti kalian akan meminta dijadikan sebagai tanah ketika itu.

“ …alangkah baiknya jika dahulu aku hanyalah tanah”

Kamu tahu, aku dan semua sahabatku, juga semua mereka yang telah mati terkorban, terbunuh di sini, tidak memerlukan belasungkawa kalian. Yang kami perlukan adalah perubahan diri kalian. Kita saudara bukan?  Kenapa kalian mesti membiarkan kami?

Berubahlah. Berubahlah dengan menjadi hamba Allah SWT. Ketahuilah bahawa Islam itu satu. Palestin juga adalah tanah kamu. Kenapa kalian membiarkan kami? Buangkanlah wahn dalam hati kalian. Dunia ini hanya sementara. Akhirat jualah yang benar dan kekal abadi selama-lamanya. Bukankah Allah telah berpesan kepada kalian,

“Setiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasan kamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka, dan dimasukkan pula ke dalam syurga, sungguh dia telah memperolehi kemenangan, kehidupan di dunia ini tiadalah lebih dari kesenangan yang memperdaya”

Kenapa kalian mesti takut dengan segala sekatan Israel dan kuncunya Amerika? Adakah kerana mereka memegang nyawa kalian? Adakah kerana mereka memegang harta kalian? Wahai saudaraku, hilangkanlah cinta dunia dan takut mati kalian. Allah jugalah yang memegang nyawa kalian. Allah jugalah yang menjaga kalian. Allah jugalah yang berkuasa atas kalian. Bukankah ALLAH sering mengulang di dalam Al-Quran,

“Sesungguhnya Allah itu berkuasa atas segala perkara”

Aku ulang, hidup kita hanya sementara. Hanya sementara. Kenapa kalian sia-siakan akhirat yang selama-lamanya untuk dunia yang sementara ini. Apa yang kalian takutkan?

Janganlah kalian hanya menjadi buih, dijentik terus pecah. Rasulullah telah mengetahui akan datangnya zaman ini. Sabdanya,

“kelak ummat-ummat lain akan menggerumuni kalian seperti orang-orang lapart menggerumuni hidangan”

                Sahabat-sahabat bertanya, “Apakah ketika itu bilangan kamu sedikit ya Rasulullah?”

                Rasulullah SAW menjawab, “Tidak, bahkan kamu ramai. Tetapi kamu seperti buih di lautan. Kamu telah diserang penyakit wahn”

                Sahabat bertanya lagi, “Apakah wahn itu ya Rasulullah?”

                “Cinta dunia dan takut mati”

Aku dengar kalian mempunyai banyak tentera dan senjata yang hebat-hebat. Kalau seluruh negara Islam bersatu, Amerika juga bukan tandingan. Hendak menentang Hizbullah pun mereka tidak mampu, apalagi menentang kesatuan kalian. Kenapa kalian takut? Sungguh ketakutan yang hadir dalam diri kalian adalah tanda keimanan kalian belum lagi benar kepada Allah SWT.

Marilah membantu kami. Bukankah di dalam Al-Quran yang kalian kita sama-sama membaca ada tertulis,

“Dan sekiranya mereka meminta pertolongan kalian(ketika mereka diserang) kerana ISLAM, kalian mestilah sudi menolong mereka”

Ah…

Kereta kebal mereka telah mampir. Aku mesti bersiap sekarang. Kalian tahu, walaupun kami mati, kami akan masuk syurga. Kalian yang terus hidup akan ke mana? Kalian akan dipersoalkan atas apa yang berlaku pada kami hari ini. Allah bersama kami dan tidak bersama-sama musuh kami. Mati kami mati mulia, menang mereka menang hina. Kami jugalah yang menang sebenarnya.

ALLAH itu matlamat kami,

Rasul itu contoh ikutan dan pemimpin kami,

Al-quran itu perlembagaan kami,

Jihad itu adalah jalan kami,

Dan mati di jalan ALLAH itu, adalah cita-cita tertinggi kami.

Aku tinggalkan pesanan ini, moga pesanan ini tidak hancur dimusnahkan oleh kemusnahan yang berlaku di sini. Pesanan ini untuk kalian. Ya, kalian. Saudaraku, seaqidah denganku.

Semoga Allah mencampakkan kesedaran dalam hati kalian, semoga Allah membangkitkan raksasa yang tertidur akibat bius yang disuntik oleh musuh, semoga Allah membangkitkan kekuatan kita. Semoga ISLAM itu kembali tinggi seperti dahulu kala, atau mungkin lebih baik lagi.

Janganlah kalian takut, sesungguhnya ALLAH telah berjanji,

“Sekiranya kamu membantu ALLAH, maka ALLAH akan membantu kamu dan menguatkan kaki-kaki kamu”

Ketahuilah, Allah tidak akan ubah nasib kita, melainkan kita berusaha.

Allah mengingatkan kita dalam firmanNya,

“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah dahulu apa yang ada pada diri mereka”

Salam dari sahabat dan saudara kalian, anak Palestina bumi berdarah, bumi perjuangan, bumi pengorbanan.

Selamatkanlah diri kalian dari api neraka. Sesungguhnya api neraka itu azabnya tidak terkira.

Wassalam.

Anak Palestina, Fathi Abzinah.


Terseksa. Pabila aksara-aksara di dalam cerpen itu di telan.
Kata-kata yang ditulis ikhlas itu, magisnya mampu menyentuh hati.
Entah. Seksaan hati, bagai disiat. Ah! Kenapa perlu sedih?
Tatkala bukan rumah kita yang dihancurkan askar Israel.
Tatkala bukan kita yang dihalang untuk ke sekolah.
Tatkala bukan ahli keluarga kita yang mati terseksa, dikeluarkan isi perut.
Bukan.
Jadi untuk apa bersedih?

Heh. Sesungguhnya kita tak pernah terdetik untuk merasa syukur.
Bersyukur akan nikmat.
Malah kita berlebih-lebihan. Kesederhanaan tidak pernah diambilkira.

Jujur, khilaf itu paling terkesan di hati,
Pabila kita sedar kekurangan diri.

Jadi untuk apa bersedih?
Sedangkan sedih itu cuma perasaan.
Perasaan yang tak ikhlas, tak terkesan di hati.

Satu cerpen dari saudara Hilal Asyraf.
Satu antara cerpen yang saya baca dalam bukunya - Matahari.
Bagai satu renjatan elektrik yang membangunkan aku dari tidur nyenyak.
Dan air mata kualirkan ke pipi, deras.

Menyiakan masa dengan berfikir tentang apa yang harus dipakai ke kelas esok menunjukkan betapa sempitnya pemikiran aku, sedangkan di dunia sebelah Timur Tengah, ada yang memikirkan bahawa kematian mereka esok hari akan meninggalkan kesan di hati hambaNya yang lain, atau tidak... Yang pasti syahid itu telah dijanjikan buat mereka... Kita???

03 July 2012

bahagia.

Bersedih. Satu rupa emosi, sering mendera.
Merobek hati. Mendusta kata. Menghancur harap.
Bersabar. Satu rupa perbuatan, sering menyembuh.
Memberi harapan. Menahan prasangka. Memberi sinar.

Sabarlah wahai hati-hati yang bersedih. 
Jangan dera lagi hatimu. Tinggalkan apa yang disedihkan.
Kutip apa yang ditinggalkan. Hargailah. Bertahanlah.

Perjuangkan hak kita. Sebagai hambaNya, perjuangkan iman kita.
Hentikan mengharap pada dunia, alihkan pandangan.
Biar mata kita sering pada akhirat, sambil dunia digenggam dalam tangan.

Mujahadah. Ianya pahit, namun akhirnya kemanisan akan tiba.

Kepada hatiku: Bertahan!